Sunday, September 19, 2010

18-09-10: Beraya...raya...raya!


Syawal sudah pun menjejak harinya yang ke-10. Bulan ni penuh dengan jemputan rumah terbuka. Kalau bulan puasa badan susut berkilo-kilo, bulan raya ni confirm naik berkilo-kilo! Naik berat badan satu hal...penyakit pun dah tentu dijemput. Aku sendiri resah memikirkan jemputan yang bakal dituruti dengan makanan yang bakal menggugat nafsu. Nak ditolak, rezeki...kalau dijamah, terlebih had. Dugaan tu! Apa pun, jemputan rumah terbuka sebegini yang mampu mengeratkan silaturrahim sesama insan di samping membuka peluang pada yang pernah bergeseran untuk bermaaf-maafan. Yang jauh, didekatkan...yang lama tak bersua, datang bertandang. =)

Thursday, September 9, 2010

Lemang Opah Ku~

Wah...masih ada beberapa jam lagi sebelum aku berangkat ke kampung ibu aku di Jeli, Kelantan. Masih sempat online dan update blog. Malam ni aku dengar takbir raya...disusuli dengan bunyi letupan bunga api yang entah dari mana datangnya. KL dah sunyi...ramai orang yang berhijrah dan menetap di bandar pulang beraya di kampung halaman. Dan...pada tahun ni aku sekeluarga balik agak lewat daripada biasa...mama abah aku decide nak balik pagi raya. Aku turutkan sahaja. Walaupun terasa kekurangan untuk raya tahun ni, aku tetap gembira untuk menyambutnya. Lebih baik aku bersyukur dalam kesederhanaan. =)

Aku terkenangkan opah aku di kampung. Mungkin dia dah buat segala persiapan untuk raya esok. Lebih-lebih lagi lemang. Tiap-tiap tahun dia akan bakar lemang untuk anak cucunya yang pulang ke kampung. Cicit belum lagi ye...sebab aku cucu sulung dan masih bujang. ;-) Pada aku...opahlah the best lemang maker di kampung tu. Memang terbaik...! Sedap...cukup rasa. Ada juga orang kampung yang minta tolong opah buatkan. Tak kurang juga ada yang memuji opah...kata opah pandai buat, lemang yang diorang buat tak berapa nak jadi. Nampak gayanya aku perlu mewarisi bakat opah ni. Bolehlah aku usahakan perniagaan lemang suatu hari nanti. Hehehe! Tak cukup syarat kalau lemang tak ada rendang. Opah suka buat rendang ayam. Dan aku memang tak kisah bab makan...aku bedal aje tanpa banyak soal. Makanan favourite aku di pagi raya ialah nasi himpit dan kuah kacang! Lemang jatuh nombor dua ye. ;-p Walau apa pun, juadah yang dihidangkan pada pagi raya...aku tetap memuji lemang buatan opah.

Rindunya aku pada bau kampung. Nak tahu macam mana bau dia? Bau segar je...bau yang hijau. Kalau di KL ni...tiap kali aku terbau orang bakar daun kering, langsung aku teringat kat kampung opah aku. Sanalah tempat yang aman pada aku...sesuai benar untuk orang yang patah hati mententeramkan jiwanya. Cewah! Pada sesiapa yang berminat, sila hubungi saya. ;-p

Malam makin larut. Pesta mercun belum tamat, berperang sana sini. Dan saat-saat ni aku terkenangkan orang-orang yang pernah mengisi hari raya aku tahun-tahun yang sebelumnya. Aishhh...mengulit kenangan la pula...mood tengah baik ni. Syohh syohh! Jangan diusik rasa sedih. Time to sleep! Esok nak bangun pagi-pagi...dan pulang ke kampung beraya dengan opah~



Sunday, September 5, 2010

Tradisi Kad Raya

Lagi 4 hari umat Islam akan menyambut hari lebaran. Pejam celik...pejam celik...Ramadhan semakin menghampiri ke penghujungnya. Dalam menanti ketibaan hari raya, masih teringat tradisi menghantar kad raya kepada teman-teman. Walaupun banyak ciptaan e-card pelbagai rupa dengan teknologi canggih segalanya di hujung jari, aku masih memilih kad raya tradisional yang dihantar melalui pos. Menyusahkan? Oh, tidak...aku suka menulis sendiri dari hati. Paling menceriakan bila kenangan manis bersama teman-teman diungkitkan dalam kad raya. Tersengih-sengih sendiri masa menulis. Tahun ni aku memperuntukkan sedikit bajet untuk pembelian kad raya dan setem. Macam-macam jenis ada. Teringat zaman kecil-kecil dulu, setiap kali di penghujung Ramadhan aku cukup bersemangat ke kedai buku dan cari kad raya untuk diberi pada kawan-kawan walaupun jiran sebelah rumah! Pilih kad raya macam pilih baju...cukup rambang mata. Dan aku masih menyimpan kad-kad raya yang aku terima daripada kawan-kawan sekolah sejak tahun 1999. =)

Moga tradisi ni tak lapuk walaupun aku dah bercucu nanti. Persoalannya masih wujudkah pengeluar yang ingin pasarkan kad raya pada 10 tahun akan datang? Kalau tak ada sekalipun...aku beli kertas dan buat aje la sendiri...apa susah? =)

Friday, August 13, 2010

Salam Ramadhan Al Mubarak~

Ramadhan tiba lagi...hari hari ketiga umat Islam berpuasa di bulan yang penuh kerahmatan dan kemuliaan ini. Aku mengimbau kenangan berpuasa bersama teman-teman serumah di Dungun semasa aku menuntut di UiTM pada tahun 2007 sehingga 2009. Memori yang cukup manis. Tahun pertama aku di UiTM aku berpuasa di hostel, makanan di'tapau' dari dining hall dan makan bersama-sama di bilik. Selepas berbuka, berjalan kaki ke masjid untuk berterawih. Tahun kedua dan tahun terakhir pula menyaksikan aku berpuasa di rumah sewa. Masak beramai-ramai lepas pulang dari kelas dan berkongsi lauk-pauk. Kalau tidak memasak, pasti bazaar Ramadhan akan dikunjungi. Aku takkan lupa pengalaman aku berjinak-jinak dengan ikan bakar. Cukup-cukup berkesan di hati. Terus jatuh hati. Tak layan lauk lain bila ada ikan pari bakar. Selepas berbuka, rancak berbual sampai tangan kering dengan bekas nasi. Kadang-kadang terlajak sampai waktu menghampiri Isyak. Mulalah kelam-kabut mengemas dan basuh pinggan. Aku rindukan kenangan itu. Cukup rindu. ;-)

Tahun ni aku berpuasa dengan pekerjaan baru. Balik dari kerja, berbuka puasa bersama keluarga. Tiga tahun belajar di rantau orang, aku berpuasa tanpa keluarga di sisi. Kali ini aku kembali menikmati hidup bersama keluarga. Bersahur dan berpuasa bersama. Riuh suara mama abah kejutkan aku dan adik-beradik dari tidur untuk bersahur masih lagi kedengaran biarpun usia aku sudah 24 tahun. Suara inilah yang aku rindu waktu belajar di UiTM dulu. Pengalaman berpuasa di rumah sewa tak sama seperti dengan family. Waktu sahur biasanya makan Cookie Crisp bersama susu coklat Dutch Lady. Cuma waktu berbuka agak meriah dengan telatah teman-teman yang menghiburkan. Aduhai, rindunya aku dengan kenangan lalu!




Aku mengharapkan puasa kali ini lebih baik daripada sebelumnya. Secara peribadi, aku berharap bulan Ramadhan kali ini dapat mendidik jiwa dan minda aku secara total. Bulan Ramadhan, syaitan diikat...maka tiada alasan untuk aku bermalas-malasan mengerjakan ibadah atau memberikan 1001 alasan untuk perkara-perkara yang tidak sepatutnya berlaku. Di bulan puasa inilah aku belajar mengawal emosi dan kesabaran aku. Alhamdulillah, bulan yang mulia ni aku merasa lebih tenang...

Sunday, August 8, 2010

Test JPJ Motor~


06-08-10...sekali lagi aku ke Imkeda Cheras untuk menjalani ujian JPJ. Kali ni untuk motor. Dah bertahun-tahun aku bawa motor ke sana sini tanpa lesen. Seingat aku, aku mula menunggang motor seawal usia aku 13 tahun...tahun 1999. Motor Honda 90 milik abah aku aku lenjan ke hulu ke hilir bersiar-siar di kawasan rumah. Tahun 2001, abah aku tukar motor tu kepada Honda EX5...sehinggalah tahun 2009, abah aku beli lagi satu motor, skuter Yamaha Ego-S. Skuter ni aku namakan sebagai Boboy dan aku sayang betul dengan buah hati aku ni. Mula-mula bawa rasa kekok sebab ringan dan gear auto. Maklumlah dah biasa merempit...hehe. Lama-kelamaan...aku semakin serasi dengan Boboy dan kami selalu bersama bila ada urusan. ;-p

Alhamdulillah, aku lulus dengan sekali ujian. Akhirnya lengkap pakej yang aku ambil. Agak lama juga proses aku nak selesaikan pakej ni berikutan kekangan-kekangan yang melintang. Faktor kerja dan kesuntukan wang membataskan aku untuk segera selesaikan pakej dalam tempoh yang singkat. Mendaftar seawal Januari, selesai semuanya pada awal Ogos. Lama, kan? Apa pun aku bersyukur segalanya selesai seperti yang diinginkan.

Sunday, June 20, 2010

My Aunt's Wedding

Selamat pengantin baru buat makcik ku Rozita yang ku panggil Bibi (adik perempuan mama ku)...dan suaminya Ridhuan, dengan gelaran Che' Wan. Majlis akad nikah dan sanding dah pun dilangsungkan pada 12 Jun yang lalu. Buat pertama kali aku diberikan tanggungjawab sebagai PENGAPIT pengantin perempuan. Alhamdulillah segalanya selesai dan berlangsung dalam cuaca yang baik walaupun berlaku insiden kelewatan tok kadi. Apa pun, kita hanya merancang, Allah jua yang menentukan segala-galanya.



Melihat makcik yang baru mendirikan masjid, terdetik di hati bila pula giliran aku memandangkan aku cucu sulung dalam keluarga sebelah mama. Dalam hati teringin, hehehe...tapi memikirkan Che' Su dan Pak Su yang masih belum kahwin...mungkin turn aku kena hold dulu. Persoalannya, calon tetap dah ada ke...


Friday, June 18, 2010

Test JPJ Kereta

Hari ni dalam sejarah...18-06-10 aku lulus driving test. Alhamdulillah...segalanya dipermudahkan...punya la tak lena tidur malam sebelumnya...pusing sana, pusing sini...gelisah yang amat. Entah apa yang aku risaukan. Bangun pagi, badan lesu yang amat...bahu kiri sakit. Gagahkan juga semangat. Seawal 7:30 pagi dah menunggu di driving school. Cuaca pagi yang sejuk betul-betul buat aku mengantuk. Hati berkata, kalau tak kerana test mesti sedap je tidur waktu tu. Ni nak kena tunggu orang. Fikiran berkata, dugaan...sabar Mal, sabar tu sebahagian daripada iman. Sambil tunggu kedatangan pengurus, aku melayan konflik perasaan yang bercampur baur.

Sehari sebelumnya aku bersama pengurus sekolah pergi ke IMKEDA Cheras untuk pengecaman laluan test. Lebih tiga minggu semenjak kelas jam yang terakhir, aku tak drive. Macam-macam aku fikir, takut tak biasa dengan kereta. Bila pegang stereng, aku tak pula menggelabah. Mungkin banyak sangat bermain dengan perasaan...tu yang jadi tak yakin. Balik dari IMKEDA Cheras tu pengurus tu suruh aku drive sampai ke AU3. Sampai je kat driving school, pengurus kata aku dah boleh drive...ada jugalah pembakar semangat untuk esok. Tersengih-sengih aku, bangga.

Pada hari test, aku dapat sesi 1...pagi. Nombor giliran aku 16...nasib baik bukan yang pertama. Lega. Tengok orang depan aku buat, ada yang gagal bukit. Macam-macam gaya. Aku pun kuatkan semangat masa tu, yakinkan diri aku boleh lepas. Sampai turn aku, dengan penuh hemah aku buat. Tapi mengaum jugalah kereta aku atas bukit tu...hehehe. Aku lepas bahagian I. Menggigil tangan nak sign borang. Cacat sikit signature pertama aku. ;-p

Bahagian II...parking. Alhamdulillah, tak ada masalah. Kesilapan-kesilapan masa belajar aku tak buat. Learn from mistakes. Tiga penjuru pun tak ada masalah. Tapi, yang kelakarnya lepas keluar dari petak 3 penjuru...aku terpinga-pinga. "Nak ambil borang dulu ke?" Aku musykil. Sebelum turn aku, tak sempat nak tengok orang lain buat. Aku pun berhentikan kereta dan keluar. Dari jauh, sayup-sayup aku dengar orang melaung. "Hantar kereta dulu! Baru ambil borang!" Adeh...manalah aku tahu. Berapa banyak mata yang pandang kat aku time tu. Aku tak peduli. Janji aku dah lepas bahagian II. ;-)

Bahagian III....jalan raya. Paling mendebarkan. Aku tengok orang sebelum aku, masa balik pegawai yang drive. Macam-macam aku fikir. Pegawai tegas, aku menggigil, langgar kereta orang. Bila sampai turn aku, semua jangkaan aku meleset. Aku drive sampai ke sudah. Sempat juga berbual dengan pegawai masa balik ke driving school. Rasa macam nak melompat-lompat je lepas selesai ujian. Aku lulus!!

Selesai sudah penantian. Apa pun, tak ada perkara yang mudah. Semua orang lalui fasa yang sama macam aku. Cuma aku bernasib baik...sekali test je aku dah lulus. Syukur, alhamdulillah...doa orang sekeliling. Sebelum aku balik, aku terlihat insiden yang sama macam aku kena. "Hantar kereta dulu! Baru ambil borang!" Budak tu tersengih-sengih masuk kereta. Aku tergelak. At least bukan aku seorang yang terpinga-pinga macam tu. ;-)

Lepas ni, aku nak ambil lesen P motor pulak. Selama ni bawa secara 'haram' je. Opss! Bocor rahsia! Hehehee...

Monday, May 31, 2010

29-05-10: Friend's Wedding~

Seorang lagi rakan sekolah aku dulu dah melangkah kaki ke gerbang perkahwinan. Aku melapangkan diri menghadiri majlis bersama mama dan abah walaupun malam sebelumnya aku diserang selsema, batuk dan demam. Mujur juga esoknya aku dah gagah bangun dan berjalan ke hulu ke hilir. Kalau disuruh berlari 100 meter pun aku mampu rasanya. Cuma tinggal saki baki batuk yang sememangnya ambil masa untuk reda. Beberapa gambar sempat diambil sebagai kenang-kenangan...

Haza dan suaminya...

Upacara memotong kek

Di pelamin...betul-betul cantik...

Aku bersama teman-teman sekolah dan kedua pengantin...

Candid shot~

Gambar yang paling aku suka~ (^,^)v

Bersama ex-schoolmates yang dah bertahun-tahun tak jumpa~

Apa pun, tahniah kepada rakan sekolahku, Hazatullaila Zainol dan suaminya, Husairi. Semoga berbahagia hingga ke hujung nyawa. Bila pula turn aku ya?

Wednesday, May 26, 2010

Fikiran vs. Hati~

Saat di mana fikiran dan hati aku berkata-kata....


Hati berkata: Aku tak cantik macam perempuan tu...
Fikiran berkata: Cantik itu subjektif...setiap perempuan ada kecantikannnya sendiri...

Hati berkata: Aku rasa aku tak cukup sempurna di mata buah hati...
Fikiran berkata: Keikhlasan akan menampakkan kesempurnaan kepadanya...

Hati berkata: Aku makin gemuk...kena berjoging ni!
Fikiran berkata: Berjoging untuk sihat...bukan untuk kurus...

Hati berkata: Aku ketinggalan daripada kawan-kawan. Mereka dah berkerjaya...dah kahwin...
Fikiran berkata: Rezeki aku mungkin lebih baik daripada mereka....sabar sikit je...

Hati berkata: Aku tak sanggup melihat dia dengan wanita lain!!!
Fikiran berkata: Dia bukan untuk ku...aku bukan untuk nya...



--> Bila fikiran dan hati tak selari....memang menguji diri~

Job hunting! Again~

Pada 17-05-10 aku menerima satu official letter daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP). Depan surat tertera panggilan temuduga. Dengan rasa tenang bercampur tertanya-tanya, aku membuka sampul dan membaca isi kandungan. Jawatan yang aku pohon 3 bulan yang lalu mendapat respon. Tarikh temuduga pada 30-06-10 di Putrajaya. Aku mula mencongak perjalanan hidup aku sekiranya berjaya.

I'm graduated...finally! Pada 23-05-10 aku telah menerima penganugerahan ijazah dari UiTM. UiTM Di Hatiku...tak akan aku lupa tajuk lagu itu. Satu perasaan yang sangat indah telah aku lalui sepanjang konvokesyen aku pada hari itu. Terharu. Gembira. Bangga. Bercampur-baur segala perasaan.


Pemburuan kerja telah aku mulakan kembali. Satu demi satu laman web aku teroka, untuk aku dapatkan pekerjaan tetap. Aku cuba mencari pekerjaan yang bertepatan dengan kelulusan yang aku peroleh. Bukan mudah...dan belum tentu aku dapat apa yang aku harapkan. Apa pun jua rezeki yang Allah beri, aku terima. Aku tidak meletakkan harapan tinggi, namun harapan tetap harapan...aku percaya dengan ketentuan yang telah Allah tetapkan untuk setiap hamba-hambaNya. Apa rezeki aku, laluan aku...tidak akan aku ketahui sebelum tibanya waktu. Sesungguhnya Allah jua Yang Maha Mengetahui. Yang penting...persediaan mental fizikal, dan usaha berterusan bersama doa yang tidak putus-putus. INSYA ALLAH....

Friday, May 21, 2010

Layan perasaan~


Lagu ni betul menyentap kalbu, mengusik rasa. Bermakna atau sekadar menghibur hati cuma? Oh Tuhan...jauhkan ku dari perasaan yang tidak keruan, tetapkanlah jiwaku pada satu arah...



Mimpi~

Mimpi itu hadir lagi. Setiap kali aku terjaga, perasaan gelisah menerjah ke segenap pembuluh darah. Aku menarik nafas panjang. Sebak. Sayu. Sampai bila aku akan terus begini, aku sendiri tak pasti. Mungkin mimpi itu satu petunjuk, atau hanya mainan tidur. Yang pastinya mimpi ini berulang kali hadir dan mengusik perasaan.

Aku takkan lupakan pada satu mimpi yang pernah aku alami 5 tahun dahulu. Sebaik sahaja terjaga, aku menangis teresak-esak seolah-olah mimpi itu benar-benar terjadi. Dan...Allah jua yang Maha Mengetahui...akhirnya aku sedar bahawa mimpi itu satu petunjuk tentang realiti yang berlaku. Kali ini aku merasainya lagi. Watak yang berbeza..jalan cerita yang berbeza.

Perasaanku cukup terganggu. Apakah aku masih belum melepaskan sepenuhnya kenangan itu? Apakah masih ada rindu?

Wednesday, May 19, 2010

Sketch~

Lama tak melukis. Skill agak berkarat. Tangan agak kaku. Slowly start...get the feel back on track. Aku cukup suka tengok orang melukis secara live. Yang pernah aku jumpa di Genting Highlands, tengok lukisan dia dengan gambar realiti saling tak tumpah. Cukup kagum dan cemburu. Baru-baru ni aku jumpa di downtown Cheras. Steady je abang tu lukis potret wanita yang duduk di hadapan dia. Setakat ni aku banyak jumpa pelukis lelaki, belum pernah lagi aku jumpa pelukis wanita. Akhirnya aku jumpa bakat daripada pelukis wanita. ZINDY NIELSEN.




Website:
http://bored-bored.com/cool/celebrity-drawings-by-zindy-nielsen/
http://zindy-zone.dk/html/drawings/mixed_pencil_drawings.html

Lukisan dia cukup smooth, hampir sempurna pada pandangan mata kasar...aku kagum dengan anugerah yang Tuhan bagi pada wanita ini. Mungkin aku terlewat mengikuti perkembangan ni...maklumlah baru nak hidupkan semula hobi melukis. Cukup cantik, sehingga menaikkan mood aku untuk bersaing dengan bakatnya. Boleh ke?

Aku cuba melukis lagi semalam. Walaupun tak sekemas mana, tapi nampaknya satu comeback yang baik.

Sketch awal.

Lepas siap touch-up.

Gambar sebenar empunya diri.

Hmmm...ini permulaan. Entah berterusan, entahkan tidak...atas aku sendiri. Apa pun, aku harap bakat aku yang tak seberapa ini mampu memberikan satu kepuasan.