Sunday, September 19, 2010

18-09-10: Beraya...raya...raya!


Syawal sudah pun menjejak harinya yang ke-10. Bulan ni penuh dengan jemputan rumah terbuka. Kalau bulan puasa badan susut berkilo-kilo, bulan raya ni confirm naik berkilo-kilo! Naik berat badan satu hal...penyakit pun dah tentu dijemput. Aku sendiri resah memikirkan jemputan yang bakal dituruti dengan makanan yang bakal menggugat nafsu. Nak ditolak, rezeki...kalau dijamah, terlebih had. Dugaan tu! Apa pun, jemputan rumah terbuka sebegini yang mampu mengeratkan silaturrahim sesama insan di samping membuka peluang pada yang pernah bergeseran untuk bermaaf-maafan. Yang jauh, didekatkan...yang lama tak bersua, datang bertandang. =)

Thursday, September 9, 2010

Lemang Opah Ku~

Wah...masih ada beberapa jam lagi sebelum aku berangkat ke kampung ibu aku di Jeli, Kelantan. Masih sempat online dan update blog. Malam ni aku dengar takbir raya...disusuli dengan bunyi letupan bunga api yang entah dari mana datangnya. KL dah sunyi...ramai orang yang berhijrah dan menetap di bandar pulang beraya di kampung halaman. Dan...pada tahun ni aku sekeluarga balik agak lewat daripada biasa...mama abah aku decide nak balik pagi raya. Aku turutkan sahaja. Walaupun terasa kekurangan untuk raya tahun ni, aku tetap gembira untuk menyambutnya. Lebih baik aku bersyukur dalam kesederhanaan. =)

Aku terkenangkan opah aku di kampung. Mungkin dia dah buat segala persiapan untuk raya esok. Lebih-lebih lagi lemang. Tiap-tiap tahun dia akan bakar lemang untuk anak cucunya yang pulang ke kampung. Cicit belum lagi ye...sebab aku cucu sulung dan masih bujang. ;-) Pada aku...opahlah the best lemang maker di kampung tu. Memang terbaik...! Sedap...cukup rasa. Ada juga orang kampung yang minta tolong opah buatkan. Tak kurang juga ada yang memuji opah...kata opah pandai buat, lemang yang diorang buat tak berapa nak jadi. Nampak gayanya aku perlu mewarisi bakat opah ni. Bolehlah aku usahakan perniagaan lemang suatu hari nanti. Hehehe! Tak cukup syarat kalau lemang tak ada rendang. Opah suka buat rendang ayam. Dan aku memang tak kisah bab makan...aku bedal aje tanpa banyak soal. Makanan favourite aku di pagi raya ialah nasi himpit dan kuah kacang! Lemang jatuh nombor dua ye. ;-p Walau apa pun, juadah yang dihidangkan pada pagi raya...aku tetap memuji lemang buatan opah.

Rindunya aku pada bau kampung. Nak tahu macam mana bau dia? Bau segar je...bau yang hijau. Kalau di KL ni...tiap kali aku terbau orang bakar daun kering, langsung aku teringat kat kampung opah aku. Sanalah tempat yang aman pada aku...sesuai benar untuk orang yang patah hati mententeramkan jiwanya. Cewah! Pada sesiapa yang berminat, sila hubungi saya. ;-p

Malam makin larut. Pesta mercun belum tamat, berperang sana sini. Dan saat-saat ni aku terkenangkan orang-orang yang pernah mengisi hari raya aku tahun-tahun yang sebelumnya. Aishhh...mengulit kenangan la pula...mood tengah baik ni. Syohh syohh! Jangan diusik rasa sedih. Time to sleep! Esok nak bangun pagi-pagi...dan pulang ke kampung beraya dengan opah~



Sunday, September 5, 2010

Tradisi Kad Raya

Lagi 4 hari umat Islam akan menyambut hari lebaran. Pejam celik...pejam celik...Ramadhan semakin menghampiri ke penghujungnya. Dalam menanti ketibaan hari raya, masih teringat tradisi menghantar kad raya kepada teman-teman. Walaupun banyak ciptaan e-card pelbagai rupa dengan teknologi canggih segalanya di hujung jari, aku masih memilih kad raya tradisional yang dihantar melalui pos. Menyusahkan? Oh, tidak...aku suka menulis sendiri dari hati. Paling menceriakan bila kenangan manis bersama teman-teman diungkitkan dalam kad raya. Tersengih-sengih sendiri masa menulis. Tahun ni aku memperuntukkan sedikit bajet untuk pembelian kad raya dan setem. Macam-macam jenis ada. Teringat zaman kecil-kecil dulu, setiap kali di penghujung Ramadhan aku cukup bersemangat ke kedai buku dan cari kad raya untuk diberi pada kawan-kawan walaupun jiran sebelah rumah! Pilih kad raya macam pilih baju...cukup rambang mata. Dan aku masih menyimpan kad-kad raya yang aku terima daripada kawan-kawan sekolah sejak tahun 1999. =)

Moga tradisi ni tak lapuk walaupun aku dah bercucu nanti. Persoalannya masih wujudkah pengeluar yang ingin pasarkan kad raya pada 10 tahun akan datang? Kalau tak ada sekalipun...aku beli kertas dan buat aje la sendiri...apa susah? =)